SKOP

Sains Malaysiana ialah sebuah jurnal ilmiah yang komited kepada perkembangan dapatan penyelidikan dalam bidang Sains dan Teknologi.  Jurnal ini mengandungi makalah-makalah dalam bidang Sains Bumi, Sains Fizis, Sains Hayat, Sains Kesihatan dan Sains Matematik. Ia menerbitkan artikel, ulasan topik terkini, dan nota penyelidikan yang menarik minat para sarjana, terutamanya daripada segi kandungan dan pendekatannya.

               

Sains Malaysiana diterbitkan oleh Penerbit UKM dan dianggotai oleh Sidang Editor yang terdiri daripada ahli akademik Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain itu, para sarjana terkenal dari universiti dalam dan luar negara dilantik sebagai ahli lembaga penasihat dan penilai artikel.

 

PROSEDUR  PENYERAHAN MANUSKRIP

Sains Malaysiana menerbitkan manuskrip yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Manuskrip yang diserahkan untuk diterbitkan dalam jurnal ini hendaklah karya asli yang belum pernah diterbitkan atau tidak dihantar serentak untuk pertimbangan oleh mana-mana penerbitan lain.

 

Manuskrip perlu ditaip selang dua baris, lajur tunggal dan saiz font 12 di atas kertas bersaiz A4 tidak melebihi 25 muka surat, 6 rajah dan 6 jadual serta hendaklah dihantar melalui sistem atas talian di Sistem Serahan Atas Talian.

Bermula 1 Januari 2013 semua manuskrip perlu dihantar melalui sistem atas talian ini.

 

FORMAT DAN GAYA

Tajuk sesuatu manuskrip perlulah ringkas, deskriptif, dan seharusnya tidak melebihi 15 perkataan. Setiap manuskrip harus mempunyai abstrak, 150 hingga 250 perkataan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang memperihalkan isi utamanya. Pihak editor akan memberikan bantuan kepada penulis yang tidak dapat menyediakan abstrak dalam bahasa Melayu.

 

Secara am, pembahagian isi merangkumi Pengenalan, Bahan dan Kaedah, Hasil dan Perbincangan, Kesimpulan dan Rujukan.  Setiap manuskrip mesti disertakan dengan 3-5 kata kunci.

 

Semua ilustrasi termasuk rajah, carta dan graf, mesti dilabel dan disediakan dalam halaman yang berasingan daripada teks. Kedudukan ilustrasi seperti yang dikehendaki dalam teks hendaklah ditanda dengan jelas. Semua ilustrasi ini harus dirujuk dan dinomborkan secara berurutan sebagai rajah. Semua ilustrasi hendaklah sama ada dilukis dengan jelas menggunakan dakwat kekal, difotografkan dalam bentuk hitam putih atau warna dan dicetak di atas kertas yang bermutu, atau dalam bentuk imej digital, dan disediakan dalam bentuk camera-ready.

 

Rujukan dalam teks hendaklah menggunakan sistem nama penulis dan diikuti oleh tahun penerbitan. Satu senarai rujukan yang disusun mengikut abjad hendaklah dimasukkan di bahagian akhir sesebuah manuskrip. Kesemua rujukan yang dipetik dalam teks haruslah muncul dalam senarai rujukan. Para penulis bertanggungjawab memastikan ketepatan dan kesempurnaan maklumat dalam senarai rujukan. Semua manuskrip mesti mengikut garis panduan rujukan Penerbit, Universiti Kebangsaan Malaysia atau The Chicago Manual of Style (University of Chicago Press). Gaya rujukan yang digunakan haruslah konsisten di semua bahagian manuskrip.

 

Klik pautan untuk templat manuskrip.

 

HAKCIPTA

Para penulis bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan manuskrip mereka tidak melanggar mana-mana hak cipta yang sedia ada. Para penulis seharusnya mendapatkan keizinan untuk menerbitkan semula atau mengubahsuai bahan-bahan yang mempunyai hak cipta, dan menunjukkan bukti keizinan tersebut semasa menyerahkan naskhah akhir manuskrip.

 

PROSES PENILAIAN

Sesebuah manuskrip akan dinilai oleh Sidang Editor dan sekurang-kurangnya seorang wasit bebas. Keputusan tentang penerbitan sesebuah manuskrip didasarkan kepada saranan ahli-ahli lembaga ini. Sesebuah manuskrip akan dinilai berasaskan kesesuaiannya dengan Sains Malaysiana, sumbangan kepada disiplin ilmu, kejituan analisis, keluasan konsepsual, persembahan yang jelas, dan kesempurnaan teknikal.  Nama penuh dan afiliasi semua penulis manuskrip hendaklah dinyatakan pada halaman depan yang dibuat secara berasingan dengan manuskrip.  Manuskrip yang diserahkan oleh mana-mana anggota Sidang Editor juga tertakluk kepada prosedur penilaian yang sama.

 

NASKHAH SEMAKAN

Satu set pruf akan dihantar kepada penulis bagi tujuan penyemakan kesilapan percetakan. Adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk memaklumkan sebarang pembetulan kepada Sidang Editor.